Zara gelisah. Sekejap sekejap dia menjeling jam di tangannya. Sekejap sekejap dia mengintai jam di dinding. Ah! Lambatnya masa berjalan. Cubalah berlari ker, marathon ker barulah laju sedikit, rungutnya sendiri.
Imah, asyik mencuri dari tadi, mencuri pandang Zara. Zara sedar tapi sengaja dia malas report ke balai polis.
‘Ehem” Imah berdehem.
Ehem, adalah yang hendak dicakapkannya tu, teka Zara. Tengok gerak giginya itu pun Zara dah tahu.
‘Zara, ngapa sejak kebelakangan ni aku tengok setiap kali masa nak balik, Kau bukan main tak sabar lagi. Nak kata boyfriend tunggu, tak jugak’ senget senget mulut Imah menghabiskan ayat.
Zara tidak menjawab sebaliknya memberikan senyuman manis mengulum tak ubah macam senyum Ziana Zain masa nak mengorat Awie. Katalah apa saja Imah, bisik hati Zara. Di matanya sudah terbayang sepasang mata hijau milik Ryan…em, hari ini dia tidak akan lewat seperti semalam. Dia tak mahu Ryan merajuk lagi. Semalam waktu dia pulang Ryan membatu di sofa. Buat acuh tak acuh pada Zara tapi bila Zara menghampiri Ryan, perlahan mengucup pipinya dan mendakapnya erat, mata Ryan layu…,dan Zara tahu Ryan tidak merajuk lagi…
Imah belum putus asa. Zara mengetap bibir.
‘Zara, jomlah. Cuma tiga hari’
‘Biar aku fikir dulu’ putus Zara lalu bangkit tanpa tujuan. Zara hampir hampir terlanggar Azhar yang sedang berdiri dekat mesin fotostat. Azhar senyum sambil menghembus asap rokoknya. Zara mengipas ngipas dengan tangannya menghalau asap. Kalau ya pun nak mati sangat,matilah seorang, rungut Zara.
‘Imah ajak ke langkawi yer?’ soal Azhar tiba tiba.
‘Hem’jawab Zara malas. Dalam hatinya tersangat hairan, kenapalah tiba tiba Imah ajak dia makan angin beberapa hari dan macam mana Azhar cepat sahaja tahu sedangkan dia bersetuju pun belum.
‘Abis?’
‘Belum tahu. Susah lah nak pegi lama lama’
‘Ngapa? Macamlah ada laki!’ selamba suara Azhar. Zara terdiam dan berlalu.
Imah pasang telinga. Kalau telinganya boleh dicabut, mahu ditanggalkan saja supaya senang diletak berhampiran meja Zara. Dapatlah dia mendengar perbualan ditelefon Zara dengan terang dan nyata. Macam mana pun dia masih dapat menangkap perbualan tu walaupun Zara bersuara perlahan macam nak menyorokkan sesuatu. Siapa tak kenal Imah…telinganya telinga lintah. Kalau ada pertandingan telinga terbaik, Imah tahu mesti dia menang punya!
‘Ryan tu manja…’
‘…….’
‘Ha’ah! Nakal… Hik hik hik’
‘…….’
‘Hem, kadang kadang tak terlayan aku dibuatnya…’
‘…….’
‘Eh, mana boleh?’
‘…….’
Cari lain?’
‘…….’
‘Ekekekekekke’
‘…….’
‘Okeylah. Bye!’
Klik.
Alamak! Dah letak telefon! Imah sedikit kesal. Kalau tidak tentu lebih banyak dia tahu pasal boyfriend baru Zara tu. Memang dia dah agak Zara pasang boyfriend baru. Namanya macam Mat Salleh… Ryan. Taste Zara memang tinggi. Patutlah ajakannya Cuma nak menguji Zara ditolak mentah mentah. Bukan dia tak sedar seminggu dua ni. Azhar rakan sepengumpatannya pun kata begitu. Malah kata Azhar, dari tilikan dan ramalannya, boyfriend Zara tu dah duduk sekali dengan Zara… Imah pun agak begitu. Tingkah laku Zara pun dah lain, mukanya pun dah lain, lenggangnya…Imah kurang pasti. Tapi Imah akan siasat.
Lima minit ke pukul sembilan, telefon berdering. Zara di sofa mulanya membiarkan tapi akhirnya tidak dapat menahan deringan yang memekakkan telinga tu. Ryan di sebelah menjeling saja. Zara bangkit.
‘Hello’
‘Hello! Zara…’
Eh! Ini suara Imah. Apa mimpinya telefon aku ni? Dah dua tahun kami sepejabat, jangan harap nak telefon aku, apalagi waktu di rumah. Musykil…
Ryan tiba tiba mengganggu.
‘Ryan, don’t disturb me…just for a while…’pujuk Zara sambil menolak Ryan perlahan dan mesra.
‘Apa hal ni Imah?’
Klik! Telefon telah diletak. Zara geram. Ikutkan hati, aku kerat kerat kau buat keropok lekor Imah! Sumpah Zara.
Petang minggu. Zara di dapur mengacau segelas susu. Ryan termenung. Zara pandang Ryan. Siapa sangka aku akan dipertemukan dengan Ryan. Hem,aku pula perempuan. Tahu tahu sajalah, cepat kesian, simpati melimpah ruah. Sampai kadangkala berlebih lebih. Dan kerana naluri itu juga tanpa berfikir panjang atau bertanya sesiapa, Zara sanggup bawa Ryan pulang ke rumah pada malam hujan lebat yang dingin itu…Zara tak pernah bertanya peribadinya, dari mana dia datang, apa lagi asal usulnya kerana pada Zara itu semua tidak penting. Yang penting kasih Zara yang sudah tumpah pada Ryan.
Tiba tiba pintu diketuk. Zara terperanjat nyamuk dibuatnya. Zara melangkah malas. Demi saja pintu terbuka,tersembul seraut wajah – Imah! Eh! Apa dia buat di sini? Sesatkah? Ini rumah akukah atau dia? Zara macam tak percaya.
‘Ma…Masuklah…’ Zara masih tidak percaya Imah datang bertandang ke rumahnya.
Mata Imah melingas kiri kanan. Gayanya macam spy.
‘Duduklah’
Tapi Imah tetap tegak. Kemudian bersuara.
‘Aku datang ni sebab ingat kau tu kawan aku’ Muka Imah serius. Langsung tak senyum. Sebijik macam muka penjahat dalam TV.
‘Straight to the point Imah…’
‘Kau jangan nak berlakon macam ni Zara. Kau tau tak apa yang kau buat ni berdosa besar?’
‘Ha, berdosa besar??’ Mata Zara tercegil macam mata lalat tercekik tulang.
‘Takkan kau tak tahu hukum!’ pintas Imah bersemangat. Memang mampus kau kali ni Zara. Beberapa episod intipan aku berjaya akhirnya. Memang sah dia dok sekali dengan jantan! Bisik Imah.
‘Apa namanya…Ryan?? Ha, kau tahu berkesedudukan tu hukumnya haram!’ sanggah Imah lagi.
‘Ooo…pasal tu ker? Laa, terima kasih banyak banyak la sebab dah ingatkan aku. Aku tak sangka aku ada teman baik macam kau. Tapi dah kebetulan sangat kau ada kat sini, tak manis pulak kalau aku tak introduce kat kau partner aku tu.’ Lembut suara Zara.
Mata Imah memancar mancar. Nafasnya turun naik. Kejayaan sudah di tangannya. Esok, mesti dia dapat trophy..
‘Ryan! Come here’ Zara melaung. Ryan muncul dari dapur penuh gaya, gagah perkasa…
‘Imah, inilah Ryan yang aku jumpa di taxi stand dalam hujan lebat beberapa minggu lepas. Mulanya nak letak nama RAIN tapi tak nampak macam korea pun… Amacam?’
Mata Imah terbelalak. Dia macam tak percaya melihat makhluk berbulu lebat perang bermata hijau itu berjalan ke arahnya dan menggesel- geselkan tubuhnya ke kaki Imah.
‘MEOWWW” sayup dan manja bunyinya. Misai jarangnya bergerak gerak. Imah berundur mencari pintu…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan